• Besarkan saiz font
  • Default saiz font
  • Kurangkan saiz font
Ruang Iktibar > Tazkirah
Tazkirah

SEJARAH HARI RAYA DALAM ISLAM

E-mail Cetak PDF

eid


Hari Raya merupakan hari kemenangan bagi Umat Islam setelah sebulan mereka menunaikan ibadah puasa dan ianya salah satu daripada hari kebesaran yang diraikan oleh kaum Muslimin di seluruh pelosok dunia. Perkataan “EIDUL FITRI” membawa maksud hari raya berbuka iaitu “Eid merupakan hari raya“ dan “Fitri bermaksud berbuka”.


Pada ketika Rasulullah S.A.W berada di Madinah, yakni sesudah baginda berhijrah dari kota Mekah ke kota Madinah, baginda menyeru penduduk Madinah untuk meraikan dua sambutan kebesaran yang berasal dari zaman Persi kuno iaitu Nairus dan Nahrajan.


Cara meraikan hari kebesaran tersebut pada zaman jahiliah ialah dengan mengadakan pesta keraian yang gilang-gemilang dengan istiadat tari-menari dan hidangan juadah yang serba mewah serta minuman yang memabukkan.


Sebagai seorang pemimpin umat dan negarawan yang berpandangan jauh, Rasulullah S.A.W sentiasa mengambil berat tentang  faktor-faktor psikologi yang berlaku  di kalangan orang awam. Di atas dasar inilah maka baginda tidak serta merta menukar sesuatu adat resam atau kebiasaan yang dilakukan pada hari kebesaran secara terus tetapi mamastikan wujudnya hari kebesaran dengan perkara yang mendatangkan manfaat. Seperti yang telah tertulis dalam satu Hadis riwayat Abu Daud dan Nasai :


“Sesungguhnya Allah S.W.T. menukar kedua hari raya tersebut dengan hari raya yang lebih baik, iaitu hari raya ‘Eidul-Adha dan ‘Eidul-Fithri’.  Peristiwa itu terjadi pada tahun kedua Hijrah, iaitu tahun permulaan diwajibkannya ibadat puasa Ramadahan".


Hari raya Islam yang ditetapkan oleh Rasulullah itu mengandungi nilai-nilai dan impak yang berkaitan antara hubungan manusia dengan Tuhan (mu’amalah ma’al-Khalik) dan hubungan manusia sesama manusia (mu’amalah ma’al-khuluki). Cara-cara meraikan hari raya mengikut  Sunnah (amalan Nabi) pada dasarnya terdiri daripada tiga perkara, iaitu:


(1)    Solat ‘Eid.


Mendirikan Solat Eid merupakan perkara yang akan dilakukan oleh Umat Islam pada pagi raya sebagai tanda kesyukuran terhadap Allah S.W.T. setelah sebulan menunaikan ibadah Puasa di bulan Ramadahan. Solat Eid ialah solat sunat muakkad yakni sunat yang diutamakan atau digalakkan kepada umat Islam untuk menunaikannya.


(2)    Mengagungkan nama Tuhan


Cara kedua ialah dengan melaungkan kalimah Allah seperti: Allahu Akbar, La Ilaaha Illallaah dan Walillahil-hamd.  Kalimah suci ini hendaklah diiringi dengan ikrar:

a) shadaqa wa’dah (Allah sentiasa benar janjiNya);

b) wa nashara ‘abdah (menolong hambaNya);

c) wa a’azza jundah (memuliakan tenteraNya) ;

d) wa hazamal-ahzaaba wahdah (menghalau pasukan musuh dengan kekuatan sendiriNya).


(3)   Menunaikan zakat fitrah


Cara ketiga merupakan rukun Islam ke-4 iaitu menunaikan zakat. Setiap umat Muslim wajib menunaikan zakat yang dinamakan zakat Fitrah mengiktu kadar yang telah ditetapkan. Hal ini adalah untuk membantu anak-anak yatim, warga tua, fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan bantuan.

 

Terakhir dikemaskini pada Isnin, 06 September 2010 11:24
 

DIALOG IMAM GHAZALI DAN MURID-MURIDNYA

E-mail Cetak PDF

islamku

Pada suatu hari, Imam Ghazali berkumpul bersama murid-muridnya, kemudian beliau mengajukan beberapa  soalan kepada mereka:

(1)    MATI

Imam Ghazali: Apakah perkara atau benda yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?

Murid-1 :  Orang Tua

Murid-2 : Guru

Murid-3 : Kaum Kerabat

Imam Ghazali: Semua jawapan adalah betul, tetapi benda  atau perkara yang paling  dekat dan hampir dengan diri kita ialah MATI. Kerana MATI adalah janji Allah kepada semua hamba-NYA seperti yang telah tertulis dalam Al-Quran “setiap yang bernyawa pasti akan mati”. (QS Ali Imran ayat 185)

(2)    MASA SILAM

Imam Ghazali: Apakah benda atau perkara yang paling jauh dari kita di dunia ini?

Murid-1 : Negeri Cina

Murid-2 : Bulan

Murid-3 : Bintang-bintang

Imam Ghazali : Semua jawapan adalah betul tetapi benda atau perkara yang paling jauh daripada kita ialah MASA SILAM. Walaubagaimanapun keadaan kita, siapapun kita, tetaplah MASA SILAM tidak akan dapat kembali. Oleh itu, kita mesti memelihara hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan amal perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama (Islam).

(3)    HAWA NAFSU

Imam Ghazali: Apakah benda atau perkara yang paling besar di dunia ini?

Murid-1 : Gunung

Murid-2 : Matahari

Murid-3 : Bumi

Imam Ghazali : Semua jawapan itu adalah betul. Tetapi benda atau perkara yang paling besar di dunia ialah HAWA NAFSU ( QS Al-A’raf ayat 179 ). Oleh itu, kita hendaklah  berhati-hati dengan hawa nafsu kerana ianya boleh mendorong kita ke lembah neraka.

(4)    MEMEGANG AMANAH

Imam Ghazali: Apakah benda atau perkara yang paling berat di dunia ini?

Murid-1:  Baja

Murid-2: Besi

Murid-3: Gajah

Imam Ghazali : Semua jawapan itu adalah betul tetapi benda yang paling berat di dunia ini ialah MEMEGANG AMANAH (QS Al-Ahzab ayat  72).  Tumbuh-tumbuhan, haiwan, gunung-ganang, bahkan malaikat semuanya tidak  sanggup menjadi khalifah (pemimpin)  di dunia ini ketika mana Allah S.W.T meminta mereka berbuat demikian. Sebaliknya, manusia dengan sombong saling berebut menyambut  pelawaan Allah SWT itu  sehingga banyak mereka yang masuk neraka kerana gagal memegang amanah.

(5)    MENINGGALKAN SOLAT

Imam Ghazali: Apa benda atau perkara yang paling ringan di dunia ini?

Murid-1:  Kapas

Murid-2:  Angin

Murid-3: Debu

Imam Ghazali: Semua jawapan itu adalah betul tetapi benda atau perkara yang paling ringan di dunia itu adalah MENINGGALKAN SOLAT. Hanya disebabkan kerja atau urusan dunia maka kita mudah untuk kita meninggalkan solat.

(6)    LIDAH MANUSIA

Imam Ghazali: Apakah benda atau perkara yang paling tajam di dunia ini?

Murid-murid dengan serentak menjawab : Pedang

Imam Ghazali : Betul. Tetapi benda yang paling tajam di dunia ini ialah LIDAH MANUSIA, kerana ianya menerusi lidah, manusia  dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.




Terakhir dikemaskini pada Isnin, 06 September 2010 11:03
 

RAHSIA KEKUATAN PUASA RAMADHAN

E-mail Cetak PDF

PERANG BADAR

jihad

Baru saja 8 hari umat Islam berpuasa bersama Rasulullah S.A.W pada bulan Ramadan yang pertama iaitu tahun  2 Hijrah, maka datanglah seruan kepada mereka untuk berjihad di Perang Badar.

 

Ketika itu, jumlah musuh  adalah 3 kali ganda (1000 orang) berbanding dengan umat Islam yang hanya 314 orang. Memiliki kekuatan  persenjataan yang jauh lebih lengkap merupakan tunggak kejayaan bagi mereka untuk mengalahkan umat Islam dengan mudah.

Tentera Islam yang menjalani ibadah puasa pada masa itu hanya berjalan kaki dari Madinah ke Badar sejauh 160 km manakala seramai 70 orang tentera Islam menunggang kuda.

Rasulullah S.A.W pernah mengajukan soalan kepada kaum Muslimin dari golongan Muhajirin seperti berikut:-

“ Apakah kalian sudah cukup tabah menghadapi musuh ?”

Miqdad bin Amrin, mewakili mereka   menjawab:

“ Teruskan  apa yang  diperintakan Tuhan kepadamu . Kami akan tetap berjuang bersamamu!”

Kemudian  Rasulullah S.A.W. bertanya pula kepada kaum Ansar  dengan pertanyaan yang sama.

Sa’ad bin Ma’az  sebagai wakil mereka menjawab :

“ Kami sudah beriman kepadamu, kami benarkan dan kami saksikan, bahawa segala ajaran yang engkau bawa adalah benar. Kami telah memberikan janji dan ikatan, bahawa kami akan  mendengar dan taat . Teruskan segala rencanamu, kami tetap bersamamu!”.

Hal ini cukup jelas menunjukkan bahawa keimanan dan semangat jihad dalam diri tentera Islam ketika mana mereka sanggup berjuang mempertahankan agama walaupun mereka sedang menjalani ibadah Puasa yang harus menahan diri dari lapar dan dahaga.

UMAT ISLAM MENDAPAT KEJAYAAN

Pada 17 Ramadhan yang merupakan bulan Nuzulul-Qur’an, umat Islam mencapai kemenangan di dalam perang tersebut. Sesungguhnya  ia merupakan satu ujian pertama  yang  menjadi bukti  di dalam  sejarah kemanusiaan secara keseluruhan  kita boleh melihat bahawa puasa merupakan satu keajaiban untuk kita menjadi lebih berdisiplin dan sabar.

Allah S.W.T berfirman yang maksudnya:

“Alangkah banyaknya (peristiwa) yang terjadi bahawa bilangan yang kecil jumlahnya (tetapi berdisiplin) dapat mengalahkan jumalah yang banyak (tidak mempunyai disiplin)”. (QS al-Baqarah ayat 249).

Rahsia Kekuatan ketika menjalani ibadah Puasa di bulan Ramadhan:-

Pertama

Puasa telah dijadikan sebagai satu daripada “rukun Islam” iaitu rukun yang terpenting dan tidak boleh diabaikan sama sekali sepertimana  solat , haji dan sebagainya .

Kedua

Puasa Ramadhan  telah termaktup di dalam Al-Qur’an yang menjelaskan tentang kewajiban berpuasa:-


1- Diwajibkan kepada umat-umat terdahulu   yakni merupakan  satu  tugas keagamaan yang  bersifat   universal, meski dengan tujuan  yang berbeza-beza  seperti menolak bala, melawan dukacita  atau menghilangkan kesedihan tetapi ada juga di antara mereka yang berpuasa   selama  satu atau dua hari sekadar untuk mententeramkan hati darisegala kegelisahan dan keresahan.

2- Semoga mendapat ketaqwaan yang tinggi kerana puasa boleh dijadikan latihan hidup dengan mencapai “taqwa” dari setiap sudut melalui jalan:-

a. disiplin jasmani iaitu menahan dan mengawal  makan minum, hawa nafsu selama satu bulan  berturut-turut.

b. disiplin moral iaitu menjauhi pelbagai perangai atau tabiat yang kurang baik serta amalan yang memudaratkan.

c. disiplin rohani iaitu dengan memiliki pemikiran yang positif dan semangat beramal yang tinggi.

d. disiplin sosial iaitu melahirkan semangat silaturahim, setia kawan, sifat prihatin dan kerjasama.

e. disiplin ibadat dengan melaksanakan ibadat puasa, ibadat solat fardu, solat sunat tarawih dan sebagainya.

 

Terakhir dikemaskini pada Isnin, 06 September 2010 08:43
 

RAMADHAN PEMANGKIN UMMAH

E-mail Cetak PDF

"RAMADAN AL-MUBARAK“

(2) KE ARAH PEMBENTUKAN INSAN YANG SEMPURNA

ramadhan


Sayyid Nadawi merupakan seorang ulama termasyhur dari India pernah menyatakan bahawa manusia adalah gabungan dari berbagai unsur yang sangat berbeza dengan haiwan dan malaikat. Hal ini adalah kerana, manusia dikurniakan dengan nikmat panca indera, akal fikiran, hawa nafsu dan hidayah Tuhan.

Setiap manusia mempunyai kemahuan dan keperluan tersendiri dan kadang kala keinginan itu membawa kepada perpecahan dan perbalahan sesama manusia. Oleh demikian, manusia seharusnya mencari suatu jalan penyelesaian yang harmoni bagi menyeimbangi segala kemahuan dan keperluan dalam jalan kehidupan.

Perkara yang perlu dilakukan adalah dengan menyiapkan diri menerusi latihan yang dapat mengawal kehendak hawa nafsu yang sentiasa mendesak diri dengan mementingkan keinginan daripada keperluan yang sewajarnya. Maka, menunaikan ibadah puasa merupakan salah satu latihan yang tepat bagi membebaskan segala tekanan dan  ketagihan dalam diri.

Nikmat yang dapat diperoleh adalah seperti:-

I – Diri (Peribadi)

1- Kesihatan yang baik dari segi jasmani dan rohani

2- Keperibadian unggul dan berkualiti

II- Masyarakat

Melawan sifat ‘ego’ dan memupuk semangat sosial:

1- Mengeratkan silaturrahim dan ukwah islamiah

2- Menjauhi segala perbuatan jenayah/maksiat yang merugikan orang lain, dan membangkitkan kepada amal kebajikan yang dapat membangun kesejahteraan masyarakat bersama

III- Akal Budi Dan Akhlak

1- Latihan (menahan dan menghentikan) secara keseluruhan ke arah perkara yang memudaratkan.

2-  Kegigihan dan kecekalan membina keperibadian diri

3- Menjernikan akhlak, minda dan akal supaya berfikiran sihat (bukan dipengaruhi oleh hawa nafsu)

4- Amar Makruf Nahi mungkar

IV- Tuhan (Allah SWT)

Rasulullah SAW bersabda: “Segala amal kebajikan anak Adam diberi ganjaran (pahala)  oleh Allah SWT sebanyak 700 kali ganda. Tetapi Tuhan juga mengatakan bahawa ganjaran tersebut untuk hambaNya yang berpuasa kerana Allah SWT dan Allah akan memberikan ganjara pahala yang tidak terbatas ".

1- Ibadat langsung kepada Allah

Semua ibadat yang dilakukan adalah secara ikhlas, tidak mengharapkan sebarang pujian atau  penghormatan. Menunaikan ibadah puasa yang bukan semata-mata di atas perbuatan tetapi terletak pada  sifat dalam diri yang ‘menahan dan menghentikan‘ perkara mungkar.

Perlaksanaan amal seperti ini tidak mungkin didorong oleh suatu kepentingan  material atau  disebabkan oleh pujian semata-mata tetapi adalh kerana hubungan secara langsung dengan Tuhan  yang memerintahkan kita untuk melakukannya.

2- Dilakukan semata-mata kerana iman

Hanya iman yang menjadi pendinding ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan seseorang itu.

 

Terakhir dikemaskini pada Isnin, 06 September 2010 08:43
 

RAMADHAN

E-mail Cetak PDF

(1) AMBANG RAMADHAN

“RAMADHAN AL-MUBARAK“

ramadhan8


Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman!! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana firman ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa“.

(QS Al-Baqarah 2: 183)

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan di sisi Allah berbanding bulan lain. Semua umat Islam adalah diwajibkan berpuasa sepanjang bulan Ramadhan bagi menunaikan tanggungjawab mereka seperti yang telah termaktub dalam Rukun Islam.

Tujuannya adalah untuk meningkatkan kesedaran dan tahap keimanan serta ketaqwaan kepada Allah SWT dan sekiranya kita tidak menyambut bulan Ramadhan dengan penuh pengisian  sewajarnya, maka kita tidak memperoleh keredhaan dan keberkatanNya.

Berpuasa bukanlah semata-mata bererti menahan diri daripada lapar atau dahaga mahupun berusaha mencari kehidupan dunia tetapi juga membawa kepada maksud kegigihan dan kecekalan sepertimana tentera Islam berjuang mempertahankan agama Islam semasa Perang Badar yang jatuh pada bulan Ramadhan.

RAMADHAN boleh diibaratkan seperti ‘Karnival Ibadat‘ yang menawarkan pelbagai keistimewaan daripada Allah SWT sekiranya kita sebagai hambaNya mempersiapkan diri dengan bekalan yang mencukupi. Amalan seharian perlulah dilakukan dengan hati yang ikhlas, malahan waktu yang terluang hendaklah diisi dengan amal jariah selain menghidupkan malam dengan solat tarawih dan bacaan ayat suci Al-Quran.

Kehadiran bulan Ramadhan bukan sahaja dapat menyuntik semangat dan  memperkukuhkan azam tetapi juga menjadi pemangkin ke arah kesejahteraan ummah. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Terakhir dikemaskini pada Isnin, 09 Ogos 2010 14:45
 


Muka 1 daripada 4

Pengunjung

Kami ada 18 tetamu online