• Besarkan saiz font
  • Default saiz font
  • Kurangkan saiz font
Ruang Iktibar > Aqidah
Aqidah

AGAMA PEGANGANKU

E-mail Cetak PDF


(1) AGAMA ADALAH KEYAKINAN

Allah S.W.T. berfirman yang maksudnya:

“Dan kalau kedua orang tua memaksamu untuk mempersekutukan Aku (Allah) dengan sesuatu, maka janganlah sekali-kali engkau taat kepada mereka, tetapi tetaplah bergaul dengan mereka di dunia  dengan cara yang baik “. (QS 31 ayat 15).

Taat kepada kedua ibu bapa adalah wajib hukumnya di dalam Islam. Salah satu dosa yang tidak ditangguh lagi balasannya sampai di akhirat, tetapi di dunia juga diperlihatkan ialah derhaka kepada kedua ibu bapa.  Tetapi kalau kedua ibu bapa  kita mengajak  atau memaksa kita untuk memeluk agama  yang salah atau melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Islam, maka wajib hukumnya menolak ajakan atau seruan itu.

Agama adalah satu keyakinan. Seorang yang memeluk agama, adalah sudah seharusnya  dengan cara kritikal, dialektikal dan teliti mengolah dan mempelajari ajaran-ajarannya , sehingga agama yang dianutnya itu  adalah satu keyakinan yang dengan  jujur dapat dipertanggungjawabkan , bukan kerana semata-mata  ikut-ikutan sahaja.

Oleh yang demikian, maka diperlukan ilmu pengetahuan dan kesedaran, sehingga  sebarang amal yang dilakukan  itu adalah berdasarkan perhitungan dan pemikiran yang matang dan betul mengikut lunas-lunas Islam, yakni Al-Qur’an dan Hadis Rasulullah S.A.W. Dalam Islam tidak dibenarkan sifat dan sikap taqlid, iaitu mengikut suatu ajaran atau amalan / ibadat  dengan tidak  mengetahui lebih lanjut tentang kebenaran ajaran itu.


(2) PENGAKUAN SEBAGAI MUSLIM

Di dalam Islam, seseorang yang digelar sebagai Muslim adalah apabila dirinya telah mengucap dua kalimah syahadah, yakni : “ASYHADU ALLAA ILAAHA ILLALLAAH. WA ASYHADU ANNA MUHAMMADAR-RASUULULLAAH”. Maksudnya: Aku naik saksi, bahawa tiada tuhan yang patut disembah melainkan Allah, dan aku naik saksi bahawa Muhammad itu adalah utusan Allah “.

Ucapan seumpama itu adalah merupakan satu keyakinan yang diakui kebenarannya oleh hati (akal), diucapkan oleh lidah dan dilakukan pada amal-perbuatan sehari-hari.

Soal keyakinan  terhadap Tuhan, kewujudan serta kekuasaanNya dapat kita akui dan yakini melalui akal fikiran kita. Tetapi selain daripada itu, seperti siapa dan bagaimana Tuhan itu, apa kehendak serta ketentuan yang ditetapkanNya bagi kita sebagai makhluk, tidaklah dapat  kita persoalkan, kerana ianya adalah diluar jangkauan  akal fikiran manusia.

Maka, Allah S.W.T mengutus RasulNya , seperti Ibrahim, Musa, Isa  dan terakhir Muhammad S.A.W. Semua Rasul itulah yang menyampaikan kepada umat manusia  apa yang patut diketahui oleh mereka tentang ke-Tuhanan dan kewajipan mereka sebagai makhluk terhadap Khaliknya(Allah). Oleh itu, melalui para Rasul kita mengetahui perkara-perkara yang ghaib, akhirat, selok belok hidup sesudah mati, syurga, neraka dan sebagainya.

Jadi, dengan keyakinan bahawa tidak ada tuhan yang patut disembah melainkan Allah serta mengakui bahawa satu syarat mutlak di dalam beragama adalah mempercayai  para Rasul yang diutus oleh Allah S.W.T. Bagi kita umat Islam  adalah dengan mempercayai Nabi Muhammad S.A.W. sebagai Rasul yang terakhir membawa Risalah Tuhannya, iaitu agama Islam, yang merupakan pedoman hidup untuk mencapai keselamatan dunia dan akhirat.

 

 

Terakhir dikemaskini pada Rabu, 07 Julai 2010 13:09
 

TAUHID DAN WAHDANIYAT

E-mail Cetak PDF


Firman Allah swt.yang maksudnya :

" dan Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain dari Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani ". (QS al-Baqarah ayat 163)

1-Landasan Ideologi Islam
Pada umumnya semua umat Islam, bahkan mungkin juga ramai orang-orang di luar Islam, sudah sedia maklum, bahawa landasan pokok daripada ideology Islam itu dalam programnya yang pertama sekali ialah hendak menanamkan akidah Tauhid dalam kalbu dan jiwa setiap umat manusia. Program tersebut dianggap selesai misinya, apabila umat manusia di dunia ini telah mempercayai dan mengamalkan kepercayaan tauhid itu didalam jiwa dan pelaksanaan kehidupan pribadi dan kehidupan masyarakatnya seharian.

Adapun program-program lain daripada ideology tersebut yang begitu banyaknya mesti ditegakkan dan dibangunkan di atas wadah yang pokok itu ( akidah tauhid ). Satu kenyataan yang tidak dapat dinafikan  lagi adalah bahawa tanpa kesatuan jiwa atau titik tolak hidup yang sama  yang dimiliki oleh umat manusia di dunia ini , akan sulit rasanya menciptakan arahan kepada umat manusia kepada satu amal dan usaha yang mengarah kepada satu kebaikan yang boleh membahagiakan kehidupan mereka zahir dan batin.    Padahal bumi dan langit bahkan seluruh ala mini tidaklah diciptakan melainkan untuk keperluan manusia yang telah dianugerahkan Allah swt. Tuhan Penciptanya  , dengan tujuan agar dimakmurkannya , demi  kepentingan dan kebaikan mereka sendiri.

Allah swt. berfirman yang maksudnya :

"dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka: Nabi soleh. ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. Dia lah Yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadanya Dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya".( QS Hud ayat 61)


Oleh kerana upaya dan  usaha mencari dan melaksana  kea rah pencapaian kemakmuran itu tidak didorong dan dilandaskan oleh niat dan tujuan yang satu, yakni niat dan tujuan yang keluar dan lahir dari lubuk hati yang  ikhlas dan telus ; maka  cara dan metod untuk mencapai kemakmuran kehidupan mereka dimuka bumi ini pun amat berbeza-beza , mengikut  cara dan selera masing-masingnya, sesuai dengan pandangan  hidup dan cara  berfikir  yang melahirkan pemikiran dengan berbagai ragam  hasil pelaksanaan  dan amalan yang mustahil dapat disatupadukan  bagi kepentingan kemakmuran umat manusia secara keseluruhan .  Oleh dimikian terjadilah  pesaingan  yang selalunya berubah menjadi bentuk 'pertelingkahan' yang boleh mengakibatkan  sekurang-kurangnya 'perang dingin' yang terjadi di dunia sekarang ini. Ini hanya boleh dapat di atasi bilamana disana ada tempat sandaran dan pegangan sebagai  " tempat bertanya kalau hendak pergi dan tempat berita kalau sudah kembali ".

2- Ideologi Aqidah Tauhid
Sandaran dan pegangan jiwa itulah yang patut ada terlebih dahulu, baik sebelum mengolah alam, mahupun dikala memanfaatkannya bagi kemakmuran. Di dalam Islam  sandaran dan pegangan itulah yang dipasang dan didudukkan setepat-tepatnya sebelum  segala sesuatunya .

Mengikut  Islam ianya  dikenali denganAqidah  Tauhid, iaitu meng-Esa-kan  kewujudan  Satu Zat yang Maha Agung di dalam segala hal, tiada ada satu dan apa  pun  yang setolok  sebanding dengan Dia, baik di dalam kekuasaan , kesempurnaan dan kebesaran, mahupun di dalam segala macam apa jua. Tiada satupun yang serupa denganNya. Maka kemudiannya kepadaNya dan keranaNya disandarkan segala niat dan tindakan manusia dalam hidup dan kehidupannya, demi rasa bersyukur berterima kasih dan membalas jasaNya yang mana di dalam Islam disebut ibadat, pengabdian kepadaNya.

Dalam hal ini, Islam bukanlah pengasas  aqidah tauhid  yang pertama kali. Islam hanyal pewaris  dan penyambung aqidah tauhid yang setia daripada tugas dan amanat para Rasul dan Nabi sejak daripada Nabi Adam hingga kepada Nabi Isa alaihimus-salam. Sebagai Nabi terakhir, Nabi Muhammad saw. mengambil alih dan menerima penyerahan  tugas  aqidah tauhid ini daripada Nabi Isa 'alaihis-salam, Nabi saudara-saudara kita kaum Nasrani (Kristian) , di mana Nabi Isa a.s. menerima tugas ini pula dari tangan Nabi Musa a.s. Nabinya umat Yahudi.

3- Islam sentiasa  bertahan
Sejak awal-awal  lagi Nabinya orang-orang Islam Muhammad saw. diserahi tugas sebagai  Rasul, maka sebagaimana Nabi-Nabi yang terdahulu , baginda pada garis besarnya berjuang dalam dua aspek :

a. Berjuang menegakkan  aqidah  tauhid
Perjuangan ini baginda lewati selama 13 tahun di Mekkah, dengan pelbagai suka dan dukanya. Sepanjang masa itu, upaya dan usaha baginda tiada lain  difokuskan kepada menerangkan erti dan makna aqidah  tauhid, kemudian menanamkan dan meyakinkannya di dalam jiwa para pengikut baginda, sehingga ianya melahirkan orang-orang mukmin seperti 'Ammar bin Yasir, Bilal bin Rabbah dan sebagainya.

b. Berjuang mempertahankan  aqidah  tauhid
Perjuangan ini baginda lalui selama 10 tahun, setelah hijrah dari kota Mekkah ke Madinah. Penjelasan dan penerangan  ' apa makna aqidah  tauhid' itu bukan lagi menjadi usaha pertama. Tetapi  yang  menjadi  tumpuan perjuangan adalah bagaimana supaya aqidah tauhid yang sudah sekian lama tumbuh itu boleh bertahan dan berkembang. Untuk  tujuan itulah perjuangan (jihad) Nabi s.a.w. dilaksanakan menjelang  baginda wafat di Madinah.  Pelbagai  usaha dan tenaga  baik berupa kekuatan dan kekuasaan , mahupun berbentuk dakwah baginda kerahkan  demi mempertahankan aqidah tauhid dan mengembangkannya, walaupun untuk itu ianya meminta banyak pemerasan keringat peluh, pengorbanan harta dan nyawa.

Kemudian  setelah Nabi s.a.w wafat, tugas tersebut diwariskan kepada Khalifah dan ianya selanjutnya  menjadi tugas umat Islam keseluruhannya. Iaitu agar aqidah tauhid  menjadi tegak secara kukuh untuk selamanya  di atas bumi yang tercinta ini, meski perjuangan  ke arah  merealisasikannya  diperlukan  berbagai pengorbanan yang tidak sedikit namun ianya mulia.

Demikian telusnya Islam dengan aqidah tauhid atau kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa- tidak berbelah bagi.. Oleh itu ajaran aqidah tauhid ini adalah  sentiasa murni ditangan umat Islam. Di kalangan  umat Islam belum pernah muncul dan belum pernah terjadi mesyuarat untuk tujuan membantah atau mengubah intipati kandungan firman Allah swt. yang bermaksud :

1. Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;
2. "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
3. "Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan;
4. "Dan tidak ada sesiapapun Yang serupa denganNya".
(QS al-Ikhlas ayat 1-4)

4- Aqidah tauhid di Malaysia
Umat Islam di tanah air ini,, oleh  kerana pegangan   aqidah tauhid  yang asas itu, maka mereka tak asing lagi dengan kepercayaan dan keyakinan tersebut dan   mereka juga merasa berkewajipan untuk menyebarkannya dan bahkan mempertahankannya agar tidak diselewengkan dan disalah ertikan , terutama  oleh  umat Islam sendiri  atau  oleh adanya  usaha-usaha daripada mana-mana pihak di  luar Islam yang akan menyelewengkan dan menyesatkan umat Islam dari ajaran  aqidah tauhid  yang sebenarnya.

Umat Islam di  negeri ini  akan  mempertahankan bersungguh-sungguh  sifat Tuhan yang mereka kenali dengan  sebutan 'wahdaniyat' -  satu penamaan yang sungguh hanya  ada dan dikenali dalam Islam sahaja, dan  ia tak  ada seorang pun  ' Sekutu bagi Zat yang dijadikan Tuhan ' itu. Bagi umat Islam adalah jelas dan  pasti bahawa 'Wahdaniyat'-  adalah sifat daripada Tuhan mereka, yakni Allah Subhaanahu wa Ta'ala sebagai  Tuhan yang bersifat ' Ke-Maha Esa-an '.

Disamping itu umat Islam  di negeri ini pula masih sentiasa mempertahankan apa yang mereka kumandangan  yang mana  maksudnya : " Tidak ada Tuhan melainkan Allah sahaja, tidak ada yang menyekutukan bagiNya".

Umat Islam tidak mengenali dan memperakui tuhan-tuhan selain Allah Swt., hanya sendiriNya dan tak ada yang setolok dan sebanding denganNya. Kalau ada sesiapa sahaja yang berkata : " ada Tuhan selain daripada Allah, maka  umat Islam tak akan mengiktirafnya.. Kalau ada sesiapa sahaja yang menyatakan : " Tuhan itu ada sekutu baginya", maka umat Islam tak akan mentoleratnya , tak akan  pernah mahu membenarkannya dan bahkan kalau mungkin akan berusaha dengan sekuat tenaga untuk memperbetul dan meluruskannya.

Namun seandainya  lafaz Allah yang dimaksudkan oleh  sesiapa pun atau mana-mana pihak pun  di luar Islam itu umpamanya adalah benar-benar sepertimana yang  ianya dimaksudkan  dengan  ajaran Islam  mengikut aqidah tauhid  dengan sifat 'wahdaniyat'Nya, maka sesiapa pun dan mana-mana pihak pun   ianya tidak usah syak dan bimbang  lagi  akan  dukungan dan pengiktirafan umat Islam terhadap apa yang ia maksudkan ' Ke -Maha Esa-an-Nya' itu .
 

MUHASABAH DIRI

E-mail Cetak PDF



MUHASABAH DIRI

Iman dan taqwa  kepada Allah swt. menurut ajaran Islam adalah di samping  pertama-tama melaksanaan dengan penuh ketaatan  kepada rukunnya yang lima, seseorang itu mestilah pula berbuat amal soleh untuk  tujuan memelihara ciptaan-Nya itu : Cinta dan memelihara alam-Nya, cinta dan memelihara makhluk-makhluk-Nya , cinta dan memelihara sesama manusia .

Tuhan Yang Maha Esa  memerintahkan kita untuk menjadi Khalifah-Nya  dan Wakil-Nya  di muka bumi ini kepada makhluk manusia  keseluruhannya . Namun di dalam keseluruhan  manusia itu, masing-masing peribadinya juga  ada bahagian peranan tertentu. Meski peribadi-peribadi manusia itu  sangat beraneka ragam  pula, ada perbezaan kulit dan warna, ada perbezaan fiil atau  amal perbuatan, perbezaan adapt budaya, pangkat kedudukan , kaya dan miskin  dan sebagainya ; namun Allah Swt. amat memperhatikan peranan masing-masing peribadi  itu. Setiap peribadi, setiap individu dengan watak dan kodrat masing-masingnya  mempunyai  peranan tugas , dan menurut pandangan Allah Swt. yang paling mulia di sisi-Nya   di antara peribadi-peribadi tersebut adalah peribadi yangn paling bertaqwa kepada-Nya.

" Sungguh, yang paling mulia di antara kamu bagi Allah, ialah yang paling bertaqwa di antara kamu " ( QS al-Hujurat ayat 13 ).

Besar-kecilnya rangkuman peranan yang dimainkan oleh seseorang itu,  adalah pahalanya tidak ditentukan dengan ukuran-ukuran keduniaan. Adalah tida ada  perbezaan bagi Tuhan, apakah seseorang insane itu seorang penguasa, atau buruh kecil, seorang professor atau pelajar biasa , bahkan ianya seorang pengemis jalanan sekalipun; perlaksanaan keberhasilan misinya di dunia, adalah semata-mata diukur dengan ketaqwaannya kepada Allah swt.

Di dalam taqwa kepada Allah terkandung makna, bahawa seseorang itu mestilah sabar, di dalam usaha keras penuh ketekunan untuk kejayaan dan tak mengenal putus asa.

Sebagai seorang manusia, di zaman moden ini, kita pun perlu membuat perencanaan kehidupan kita. Kita mantapkan terlebih dahulu iktikad amal perbuatan kita, kemudian kita  lakukan ikhtiar dengan perencanaan-perencanaan dan pemilihan cara-cara yang baik agar perlaksanaannya dapat menuju kea rah hasil kejayaan yang diharapkan .  Didalam ikhtiar, kita pastinya akan menemukan ketidakpuasan  dan kekecewaan-kekecewaan. Di dalam keadaan dan situasi demikian, kita dapat mengambil nikmat dan tauladan Rasulullah Saw. Baginda mengingatkan kita, agar sekali-kali kita tidak berputus asa  dan bahawa di dalam melaksanakan  tugas pekerjaan, pada akhirnya bukanlah kita yang menentukan hasil kejayaan, melainkan kita diharuskan  melakukan ikhtiar, dan wajib ke atas kita merlaksanakan tugas kewajipan dengan sebaik-baiknya.

Jika niat amal perbuatan kita sudah baik, dan seterusnya dalam perlaksanaanya , usaha kita telah kita jalankan dengan sekuat kemampuan kita, dengan cara-cara dan perhitungan sebaik-baiknya, maka dengan penuh tawakal kita serahkan  keputusannya kepada Allah swt.

 

Wallahu A'lam.

Terakhir dikemaskini pada Isnin, 10 Ogos 2009 15:30
 



Pengunjung

Kami ada 23 tetamu online