Majlis Anugerah Murid Cemerlang serta Penyampaian Sijil dan Hadiah bagi Tadika Tahfiz HIKMAH Kuching dan juga Tadika Tahfiz HIKMAH Sri Perkasa, Matang.

KUCHING, 14 NOVEMBER 2019 - Tadika Tahfiz HIKMAH telah mengadakan Majlis Anugerah Murid Cemerlang serta Penyampaian Sijil dan Hadiah bagi Tadika Tahfiz HIKMAH Kuching dan juga Tadika Tahfiz HIKMAH Sri Perkasa, Matang. Majlis ini diadakan untuk memberikan penghargaan kepada murid yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Majlis diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu Yang Berbahagia Dato Temenggong Abdul Rahman Bin Abang Fadzail selaku Naib Yang Dipertua HIKMAH Sarawak, ketibaan Yang Berbahagia Dato Temenggong telah disambut oleh Y.bhg Tuan Haji Alwi (Ketua Pegawai Eksekutif HIKMAH) dan Y.bhg Tuan Haji Idris Ahmad selaku Pengurus Dakwah HIKMAH. Yang Berbahagia Dato Temenggong Abdul Rahman juga telah menyempurnakan acara perasmian.

Dalam ucapan perasmian, beliau juga menasihati murid-murid agar lebih gigih berusaha untuk mencapai kejayaan yang cemerlang. Y.bhg Dato Temenggong juga turut memberitahu bahawa sekolah tahfiz HIKMAH akan mula beroperasi pada tahun hadapan (2020) yang bertempat di Ibu Pejabat HIKMAH Sarawak, Petra Jaya. Sehubungan itu, beliau juga menyeru agar para ibu bapa terus memberi galakan kepada anak-anak mereka di dalam bidang akademik.

Majlis diteruskan dengan acara penyampaian anugerah, sijil dan juga hadiah kepada pelajar-pelajar tadika tahfiz. Acara kemuncak ialah penganugerahan Pelajar Terbaik bagi tahun 2019 yang telah disandang oleh adik Nur Amiera Binti Sem, dari Tadika Tahfiz HIKMAH Sri Perkasa manakala dari Tadika Tahfiz HIKMAH Kuching disandang oleh adik Muhammad Rifqi Arifuddin Bin Samzah dan adik Elviana Qaireen Binti Rashid.

Turut hadir bersama majlis ini, Y.bhg Encik Ainin Naeem selaku Yang Dipertua PIBG Tadika Tahfiz HIKMAH serta kakitangan tadika dan juga kakitangan Ibu Pejabat HIKMAH Sarawak.

Laman Web Dibangunkan Oleh Core System Technologies
© Hakcipta Terpelihara HIKMAH Sarawak 2024