Penjajah Barat telah berjaya meracuni pemikiran pelajar Islam melalui pendidikan di sekolah-sekolah muballigh Kristian di Negeri Sarawak. Segelintir daripada pelajar Islam tingkatan lima dan enam telah mula berani mempersoalkan tentang kewujudan Allah, fungsi agama dalam kehidupan serta melemparkan tuduhan bahawa agama Islam adalah kolot, beku dan lapuk. Memandangkan kepada senario yang sangat menakutkan ini, Persatuan Kebajikan Islam (PKIS) telah menganjurkan satu Kongres yang dikenali sebagai Kongres Islam Malaysia Timur yang diadakan pada 3 hingga 5 Mei 1968 di Dewan Masyarakat Kuching. Kongres ini telah berjaya mengumpulkan ramai para intelek Islam Sarawak dan Sabah untuk memikirkan masa depan umat Islam di kedua-dua buah negeri tersebut.
Bersempena dengan kongres ini juga, PKIS mengadakan Kursus Agama Belia Islam khusus untuk pelajar-pelajar Islam tingkatan lima dan enam pada 24 April hingga 2 Mei 1968.Hasil daripada cadangan para peserta Kursus Agama Belia Islam khusus untuk pelajar-pelajar tingkatan lima dan enam pada 24 April hingga 2 Mei 1968, maka lahirlah sebuah Pertubuhan Dakwah Islamiah Bukan Kerajaan (NGO)yang dinamakan sebagai Angkatan Nahddatul Islam Bersatu atau ringkasnya BINA pada 3 Mei 1968 M.
Ia telah diasaskan oleh beberapa tokoh penting seperti Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub, Tan Sri (DR) Haji Abdul Taib Mahmud, Datuk Sri Haji Anis bin Haji Abot dan Datuk Haji Mohd.Mortadza bin Haji Daud.
HIKMAH hasil transformasi dari BINA
Setelah berusia lebih suku abad, organisasi ini telah menerima transformasi pindaan perlembagaan termasuk namanya daripada BINA kepada HIKMAH melalui satu resolusi yang telah diluluskan oleh Perhimpunan Perwakilan BINA ke-XI yang berlangsung pada 17 – 18 September 1993 di Dewan HIKMAH Petra jaya Kuching Sarawak. Penukaran nama BINA kepada HIKMAH sebagai `wadah penerus perjuangan dakwah BINA` telah dilancarkan dengan rasminya oleh Yang Amat Berhormat Pehin Sri (DR) Haji Abdul Taib Mahmud , Ketua Menteri Sarawak pada 19 Ogos 1994 M di Dewan BINA, Petra Jaya Kuching Sarawak.