Pengagihan Bantuan Kepada Mangsa yang Terjejas Banjir 2021

Kakitangan ibu pejabat HIKMAH Sarawak pada hari ini telah melaksanakan program gotong-royong menyediakan pek makanan untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa yang terjejas ekoran kejadian banjir yang berlaku semenjak beberapa hari lepas. Seramai 30 orang kakitangan telah terlibat di dalam program gotong-royong ini dan juga mengagihkan sumbangan kepada mangsa-mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Sumbangan berupa makanan bermasak dan juga makanan ringan diagihkan. Misi kali ini dimulakan dengan aktiviti memasak secara gotong-royong di perkarangan Ibu Pejabat HIKMAH Sarawak dan seterusnya diagihkan. PPS yang pertama disantuni ialah PPS SK Encik Buyong yang menempatkan seramai 113 orang mangsa banjir. Sumbangan telah disampaikan oleh Puan Hamisah binti Bohari (Pengurus Pentadbiran HIKMAH) kepada Puan Rosnah binti Abdul Rahman (Ketua Wanita PBB (GPS) & AJK JKKK Astana Lot) selaku wakil kepada warga sekitar kawasan Kampung Astana Lot.

Seterusnya misi diteruskan ke PPS Dewan Serbaguna Kampung Tupong Tengah, Petra Jaya. Seramai 104 orang telah dipindahkan ke PPS ini semenjak berlaku banjir beberapa hari yang lalu. Sumbangan telah disampaikan kepada Puan Noraini binti Abg Karim (Ketua Wanita Kampung Tupong Tengah) selaku wakil penduduk Kampung Tupong.

Pusat Penempatan ketiga yang disantuni oleh HIKMAH adalah di PPS Dewan Masyarakat Pinang Jawa, Gita yang menempatkan seramai 152 orang mangsa banjir. Sumbangan diserahkan kepada Puan Setira Hasema binti Haji Arifin selaku Ketua Kampung Pinang Jawa. PPS terakhir yang dikunjungi HIKMAH adalah PPS Dewan SK Matu Baru, Bintawa Kuching. Sejumlah 156 orang telah ditempatkan di PPS ini. Sepertimana PPS yang lain, HIKMAH juga menyerahkan sumbangan berupa makanan bermasak & juga makanan kering kepada Puan Aisyah Jawi (Sukarelawan JKM Kuching) selaku wakil penduduk. Semoga dengan sumbangan ini dapat memberi manfaat kepada mangsa-mangsa yang terjejas akibat bencana banjir ini.
Diharapkan semua mangsa agar tabah di dalam menghadapi musibah yang dihadapi dengan hati yang redha.

Lokasi Pusat Pemindahan Sementara yang disantuni;

-PPS Dewan SK Matu Baru, Bintawa Kuching
-PPS SK Encin Buyong, Jalan Astana Kuching
-PPS PPS Dewan Masyarakat Pinang Jawa, Gita Kuching
-PPS Dewan Serbaguna Kampung Tupong Tengah, Kuching


Laman Web Dibangunkan Oleh Core System Technologies
© Hakcipta Terpelihara HIKMAH Sarawak 2021