Penghargaan Khas Majlis Islam Sarawak

KUCHING: HIKMAH Sarawak telah menerima Penghargaan Khas di satu Majlis Penghargaan Khas Majlis Islam Negeri Sarawak bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak 1442H/2020M pada hari ini.

HIKMAH Sarawak diwakili oleh Tuan Haji Alwi Bin Haji Morshidi selaku Ketua Pegawai Eksekutif HIKMAH dan Ustaz Haji Idris Bin Haji Ahmad (Pengurus Dakwah HIKMAH) menerima Penghargaan Khas daripada Yang Berhormat Datuk Dr Haji Abdul Rahman Bin Haji Junaidi (Menteri Muda Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam & DBKU) dan Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Sarawak).

Penghargaan Khas ini dianugerahkan bagi menghargai usaha agensi-agensi Islam yang terlibat termasuk HIKMAH Sarawak di dalam aktiviti pengagihan bantuan kemanusiaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac 2020 yang lalu hingga kini. Bantuan sumbangan masih lagi diagihkan kepada golongan sasar yang memerlukan terutamanya golongan B40 yang terjejas pendapatan di bahagian perdalaman seluruh negeri Sarawak secara amnya akibat daripada penularan pandemik Covid-19. 

Beberapa agensi Islam yang lain juga turut terlibat di dalam misi ini yang turut menerima Penghargaan Khas ini ialah Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Jabatan Kehakiman Syariah, Sarawak (JKSS), Jabatan Mufti Negeri Sarawak (JMNS), dan juga pasukan Musa'adah yang terdiri daripada Tabung Haji Kuching (TH) & Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Majlis Penghargaan Khas ini turut dihadiri oleh Yang Berbahagia Datu Haji Misnu Bin Haji Taha (Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak), Datu Haji Kipli Bin Haji Yassin (Mufti Sarawak), Yang Berbahagia Datu Haji Abang Mohamad Shibli Bin Haji Abang Mohamad Nailie (Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak), Ketua-Ketua Agensi Majlis Islam Sarawak dan juga tetamu-tetamu jemputan khas.

-BKH Media-

Laman Web Dibangunkan Oleh Core System Technologies
© Hakcipta Terpelihara HIKMAH Sarawak 2024